Salam semua. Kali ini, Malaysiaboy nak memberi pendapat tentang keruntuhan akhlak dan salah laku dalam kalangan remaja hari ini. Malaysiaboy sendiri pun masih lagi dikategorikan sebagai remaja yang hampir menginjak dewasa.

Mengikut definisinya, seorang remaja itu bermula daripada umur 12 tahun sehingga mencapai usia 21 tahun. Artikel kali ini akan mengulas mengenai keruntuhan akhlak dan salah laku yang berlaku kepada remaja kita hari ini sama di peringkat antarabangsa amnya, dan di Malaysia khususnya.

Isu pokoknya sudah tentulah punca mengenai keruntuhan akhlak itu sendiri, kerana daripada keruntuhan akhlaklah membawa kepada berlakunya salah laku. Ramai orang berpendapat keruntuhan akhlak disebabkan pergaulan rakan atau pengaruh media elektronik. Tetapi punca utamanya adalah bermula daripada latar belakang remaja itu sendiri.

Bermula daripada rumah. “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Bukan nak salahkan ibu bapa yang mendidik, tetapi itulah hakikatnya. Kita selalu mendengar ungkapan “budak – budak tak pernah menipu”. Memang benar anak kecil tak pernah menipu, dan sebaliknya mereka juga menjadikan ibu bapa mereka sendiri atau ahli keluarga mereka yang selalu bergaul dengan mereka, sebagai contoh atau teladan. Walaupun mereka masih kecil, tetapi mereka boleh memahami apa yang orang sekeliling cuba sampaikan terutamanya ahli keluarga mereka sendiri. Malah, setiap perkara yang berlaku di sekeliling mereka akan secara automatiknya tercetak ke dalam memori mereka.  Apa yang telah mereka saksikan akan terbawa sehingga ke dewasa jika mereka ini kurang didikan moral. Sebagai contoh, jika ibu bapa bertengkar dihadapan anak mereka yang masih kecil, sampai suatu masa nanti, mereka juga akan bertengkar dengan ibu bapa mereka sendiri malahan akan mempertikaikan tentang kesalahan mereka masa lampau. Begitu juga jika terdapat abang atau kakak, yang selalu bersikap buruk atau sebagainya, perkara ini juga akan terbawa-bawa apabila mereka dewasa, kerana mereka telah menyaksikan sejarah keluarga itu sendiri. Jadi apa yang mahu diceritakan di sini ialah konsep melentur buluh itu sendiri. Ibu bapa ataupun ahli keluarga harus mengubah dan memahami dengan jelas konsep melentur buluh biar dari rebungnya.

Sesetengah golongan pula beranggapan dengan menghantar anak mereka ke sekolah, dan menyerahkan bulat – bulat hal mendidik kepada pihak sekolah dpat membentuk anak mereka menjadi seorang yang berakhlak mulia. Memang tidak dapat dinafikan, kerana itulah fungsi utama sekolah. Malangnya, perkara menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak sekolah adalah sesuatu yang silap. Pendidikan di sekolah hanya menyumbangkan peratusan kecil kepada pembentukan akhlak remaja. Peratusan yang besar adalah datangnya dari rumah seperti yang telah diulas tadi. Jika kita percaya pihak sekolah dapat mendidik sepenuhnya para remaja, mengapa masih terjadi gejala sosial di sekolah?. Sebagai contoh kebelakangan ini berlaku pergaduhan antara pelajar dengan guru dan yang terbaru adalah kes di mana seorang pelajar lelaki telah menumbuk muka seorang guru perempuan sehingga tulang hidungnya retak hanya kerana meleraikan pergaduhan remaja berkenaan. Di sini, terdapat tiga konflik gejala sosial, bergaduh dalam perkarangan sekolah, kedua mencederakan guru dan ketiga, mempengaruhi pelajar lain untuk bertindak sedemikian. Dimana rasionalnya penyerahan secara total tanggungjawab mendidik kepada pihak sekolah?

Terdapat  juga sesetengah kes, kelalaian atau kesalahan pihak sekolah atau pendidik itu sendiri. Seperti yang terbaru berlaku kejadian dimana seorang guru disiplin telah mencabul kehormatan pelajar. Kesalahan ini juga yang mendorong pelajar membenci guru mereka dan menganggap mengapa mereka tidak boleh melakukan perkara yang sedemikian? Kejadian seperti ini telah mencabar ketelusan dan integriti institusi pendidikan itu sendiri dalam mendidik pelajar. Justeru institusi pendidikan harus lebih agresif dan amanah dalam membentuk pelajar dengan menerapkan pendidikan secara berhemah, bukan hanya mahu mengejar pencapaian akademik cemerlang tidak kepada sahsiahnya. Tidak juga hanya sekadar “melepas batuk di tangga” dan “makan gaji buta” sahaja. Kita tidak mahu melahirkan seorang intelektual yang mendatangkan kerosakan kepada suatu sistem komuniti elit.

Pengaruh rakan sebaya juga memainkan peranan penting dalam membentuk akhlak remaja itu sendiri. Kebimbangan terhadap kejadian – kejadian salah laku dalam kalangan remaja dan takut akan penularan “wabak penyakit” ini kepada remaja lain menjadi isu utama pihak bertanggungjawab. Seperti yang kita lihat di negara luar budaya “punk”, “black mental”, “pengkid”, dan gajala yang sebagainya sedikit sebanyak terbawa dan menular kedalam komuniti negara kita. Memang tidak dapat dinafikan lagi budaya – budaya tidak sihat ini menjadi suatu ‘trend’ baru para remaja kita terutamanya di bandar besar. Sedikit sebanyak turut mempengaruhi remaja yang berada di kawasan luar bandar. Sedikit sebanyak wabak baru ini menular dalam kalangan remaja melalui pengaruh rakan. Modus operandinya sangat mudah, di sekolah, segolongan kecil terlibat dalam budaya tidak sihat ini, kemudian mereka akan merekrut ahli baru dan penyebaran itu akan berterusan. Sebagai contoh, anggap seorang remaja luar bandar, masuk ke sebuah sekolah berasrama di bandar dan terpengaruh budaya berkenaan, seterusnya mereka akan membawa budaya itu balik bersama mereka ke kampung dan meneruskan penyeberanya. Suatu perkara yang dianggap temeh, tetapi membawa pengaruh yang besar. Sejauh mana keberkesananya, kita dapat lihat sendiri pada hari ini.

Seterusnya ialah pengaruh media sama ada masa atau elektronik. Dengan perkembangan pesat belakangan ini, tidak mustahil media juga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi akhlak remaja. Dari meniru aksi dalam filem sehingga kepada liputan berita mengenai kejadian mengenai salah laku remaja. Sedikit sebanyak turut mempengaruhi dan menguasai minda remaja untuk melakukan perkara yang sama. Perkara ini dapat dielakkan dengan penyediaan rencana mengenai salah laku ini dan cara menanganiya. Sebagai contoh liputan berita mengenai salah laku remaja, mereka boleh menegaskan mengenai hukuman yang bakal diterima dan sebagai peringatan untuk tidak melakukan perkara yang sama.

Konklusinya, dengan kemajuan teknologi dan perkembangan pesat global hari ini, kita masih mampu membentuk dan mendidik anak remaja supaya keruntuhan akhlak tidak berlaku dan membawa kepada salah laku agar perkara ini tidak akan berterusan dan tiada penghujungnya. Pihak bertanggungjawab, kerajaan misalnya harus manggalakkan ke arah peningkatan nilai moral dengan penekanan dan pendedahan serta didikan yang berterusan tidak hanya tertakluk kepada remaja, malah rakyat keseluruhannya. Agensi – agensi berwajib harus dari masa ke masa memantau dan bertindak untuk membendung masalah ini dari terus menular. Dengan itu barulah negara boleh dianggap maju seiring pembangunan global.